SOALAN
Apakah tafsiran Surah an-Nur, ayat 31 yang bermaksud: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
JAWAPAN
Dr. Yusuf al-Qardhawi menyatakan dalam kitabnya Taubat Untuk Allah: Di dalam ayat ini, Allah s.w.t telah memerintahkan semua orang yang beriman supaya bertaubat kepada-Nya. Tidak terkecuali seorangpun, tidak kira sekukuh mana istiqamah (komitmen) seseorang itu dan setinggi mana dia menakah darjat ketakwaan. Dia tetap memerlukan taubat.
Di kalangan orang beriman, ada yang bertaubat daripada dosa-dosa besar apabila mereka sering melakukannya kerana ia bukanlah ma’sum. Ada pula yang bertaubat daripada dosa-dosa kecil yang sedikit sekali manusia selamat daripadanya. Ada pula yang bertaubat daripada perkara-perkarasyubhat. Sesiapa yang menjauhkan perkara syubhat bermakna dia telah menyelamatkan agama serta kehormatannya.
Ada pula yang bertaubat daripada perkara-perkara makruh. Ada juga yang bertaubat daripada kelalaian yang terlintas di dalam hati mereka. Bahkan ada juga yang bertaubat lantaran melakukan perkara yang lebih ringan daripada itu kerana ia menghalangnya daripada naik ke darjat yang lebih tinggi.
Pengarang kitab al-Qamus menjelaskan ayat al-Quran ini di dalam kitabnya yang bernama al-Basyair: Ayat ini termasuk di dalam Surah Madaniyah yang diajukan oleh Allah kepada orang-orang yang sudah beriman, orang-orang yang terbaik di kalangan makhluknya agar mereka bertaubat kepada-Nya, setelah mereka beriman, bersabar, berhijrah dan berjihad. Kemudian dikaitkan keuntungan kejayaan dengan taubat. Semoga kamu akan beruntung, kaitan ini adalah kaitan antara sebab dan musabab, Allah mendatangkan ungkapan semoga yang menggambarkan sebuah harapan yang bermaksud: Jika kamu bertaubat bererti kamu ada harapan untuk berjaya. Orang yang mengharapkan kejayaan tersebut adalah orang-orang yang bertaubat.
SOALAN
Apakah tafsiran taubat mengikut Imam al-Ghazali?
JAWAPAN
Taubat menurut tafsiran Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin ialah makna yang terangkum di dalam tiga unsur iaitu ilmu, keadaan dan amalan. Ilmu adalah yang pertama, keadaan adalah yang kedua dan amalan adalah yang ketiga. Perkara pertama merupakan kemestian bagi perkara kedua, perkara kedua merupakan kemestian bagi perkara ketiga. Kemestian ini berdasarkan ketentuan sunnah Allah di dalam alam.
Imam al-Ghazali berkata: Menerangkankan berkenaan dengan beberapa hakikat taubat:
1. Unsur maghrifah (pengetahuan di dalam taubat).
2. Emosi keinginan.
3. Unsur amali di dalam taubat.
4. Mengikhlaskan taubat kepada Allah s.w.t.
SOALAN
Nyatakan maksud istighfar.
JAWAPAN
Istighfar ialah memohon keampunan atau memohon penghapusan dosa, menghilangkan kesannya dan berlindung dari kejahatannya. Ibn al-Qayyim telah berkata: Hakikat al-maghfirah (keampunan) ialah melindungi daripada kejahatan dosa. Oleh sebab itu setiap yang menutupi kepala dari kesakitan dinamakan sebagai al-Mighfar.
SOALAN
Bagaimanakah ikatan antara istighfar dengan taubat?
JAWAPAN
Istighfar yang hakiki mengandungi taubat sepertimana taubat mengandungi istighfar. Setiap satunya termasuk di dalam pengertian yang satu lagi. Tetapi jika kita gandingkan di dalam ayat yang sama seperti mana yang dikatakan beristighfarlah kamu kepada tuhan kamu dan bertaubatlah kepadanya. Maka makna istighfar di sini ialah meminta perlindungan daripada dosa yang lalu, sementara taubat pula bermakna kembali dan memohon perlindungan dari kejahatan apa yang ditakutinya pada masa depan daripada perlakuan buruknya.
Imam Ibn al-Qayyim telah berkata: Di sini terdapat dua dosa. Satunya ialah dosa yang lalu, beristighfar darpadanya ialah memohon perlindungan daripada kejahatannya dan daripada dosa dibimbangi akan dilakukannya. Kembali kepada Allah terdiri daripada dua cara, kembali kepada-Nya untuk melindungi dari kejatan yang lalu dan kembali kepada-Nya untuk melindunginya daripada kejahatan akan datang yang disebabkan oleh perlakuan yang buruk.
Istighfar juga termasuk di dalam kategori menghilangkan kemudharatan sama ada taubat adalah permohonan mendapatkan manfaat. Keampunan ialah melindunginya daripada kejahatan dosa dan taubat, memperolehi apa yang disukainya setelah perlindungan ini. Setiap satunya memerlukan antara satu sama lain.
SOALAN
Apakah perbezaan antara bisikan nafsu dengan bisikan syaitan?
JAWAPAN
Menurut al-Junaid al-Baghdadi bahawa nafsu apabila meminta sesuatu kepada kamu ia membuat saranan berterusan dan sentiasa mempengaruhi kamu sehingga tercapai kehendaknya dan berhasil tujuannya melainkan apabila ia digagalkan dengan mujahadah sebenar yang berterusan, kemudian ia terus mempengaruhi kamu dan mempengaruhi kamuu.
Tetapi syaitan apabila mengajak kamu melakukan sesuatu penyelewengan tertentu dan kamu mengingkarinya dia mempengaruhi kamu supaya melakukan penyelewengan yang lain pula kerana bagi semua pelanggaran ajaran Allah itu sama baginya. Ia hanya mahu selama-lamanya mengajak kepada penyelewengan apa sahaja dan bukan tujuannya, mengkhususkan penyelewengan dalam satu perkara dan tidak yang lainnya.
SOALAN
Apakah yang dimaksudkan dengan muraqabah?
JAWAPAN
Muraqabah bermaksud tilikan atau tumpuan hati secara berterusan terhadap Allah serta menunggu limpahan kurnia daripada-Nya. ia dilakukan sehingga menjadi satu sifat yang sebati dengan diri. Berterusan melakukan muraqabah membawa kepada tercapainya mushahadah. Amalan muraqabah ini merujuk kepada hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sekiranya engkau tidak melihatnya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.” Demikian juga hadis yang bermaksud: “Jagalah (renungilah) Allah nescaya Dia akan menjaga dirimu.”
Dalam tarikat Naqsyabandiyyah, terdapat beberapa jenis muraqabah yang diamalkan yang menjadi asas muraqabah-muraqabah itu ialah muraqabah ahadiyyah, muraqabah ma`iyyah dan muraqabah mutlaq.
Credit to: Ummata Wasatan page http://ummatanwasatan.net/2013/04/setinggi-dan-serendah-mana-tetap-memerlukan-taubat/
No comments:
Post a Comment